CenT-TI English

Apa Yang Akan Berlaku Apabila Pelajar Tidak Terdedah Kepada Program Penyelesaian Masalah?


Berdasarkan pengalaman 41 tahun saya dalam pendidikan matematik, pelajar yang tiada pengetahuan penyelesaian masalah (problem solving) akan mempunyai masalah berikut:


  1. Tidak akan dapat berfikir dengan mahir, contohnya tidak dapat menyelesaikan soalan KBAT. Mengapa? Salah satu kemahiran yang paling penting dalam pembelajaran matematik adalah untuk menganalisis masalah. Menganalisis masalah tidak seperti apa yang ahli motivasi sering sarankan kepada peserta mereka, iaitu, 'Cuba memahami apa masalahnya'. Masalahnya ialah bagaimana untuk memahami masalah jika seseorang itu tidak tahu maksud 'menganalisis'. Kemahiran ini perlu dipelajari dan boleh diajar. Ia tidak datang secara semulajadi walaupun dari golongan pelajar yang dikatakan pintar (intelligent). Profesor Emeritus David Perkins berkata, 'Tidak ada kaitan antara keupayaan untuk berfikir secara mahir dan kepintaran. Atas sebab ini, Malaysia berada hampir di bawah antara negara-negara yang mengambil bahagian dalam TIMMS dan PISA dalam matematik dan sains walaupun kita mempunyai ramai pelajar pintar yang mendapat 8A dalam peperiksaan PMR (tetapi tidak dalam peperiksaan PT3) dan yang skor 10A dalam SPM.

  2. Sudah tentu tidak ada pembelajaran tanpa berfikir. 'Pembelajaran adalah akibat daripada pemikiran' (Profesor Emeritus David Perkins, Harvard Graduate School Of Education). Malah matlamat utama pendidikan adalah untuk mengajar supaya pelajar memahami, untuk membantu pelajar berfikir secara kritis dan kreatif, untuk menyelesaikan masalah bukan rutin dan untuk membangunkan budaya berfikir bukan sahaja dalam bilik darjah tetapi juga dalam kehidupan sebenar (David Perkins). Dari perspektif Islam matlamat utama pendidikan, menurut Profesor Syed Naquib Al-Attas, adalah untuk melahirkan manusia yang beradab iaitu mempunyai nilai moral dan etika, integriti, keghairahan untuk mencari pengetahuan, menyedari pentingnya proses penaakulan dan pemikiran dalam proses mencari ilmu dan kaedah pengajaran yang mampu menghasilkan manusia yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif dan yang akan lebih dekat kepada Allah. Dalam erti kata lain pelajar yang tidak terdedah kepada Penyelesaian Masalah akan terus belajar seperti burung kakak tua begitu taksub dan belajar hanya untuk lulus banyak jenis peperiksaan dari peringkat sekolah hingga ke peringkat universiti tetapi gagal untuk mengoptimumkan potensi mereka sebagai manusia yang boleh memainkan peranan sebagai penyelesai masalah dan pemikir.


Kembali kepada Soalan Popular KBAT